KUNJUNGAN HORMAT PERDANA MENTERI KE UNIVERSITI AIMST: MEMPERKASA PENDIDIKAN MADANI DAN SERAHAN GERAN KERAJAAN 2026

Universiti AIMST hari ini berbesar hati menerima kunjungan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan YB Dato’ Seri Diraja Zambry Abd Kadir sempena Majlis Serahan Geran Kerajaan Tahunan dan sesi dialog Temu Anwar yang berlangsung di kampus AIMST, Bedong, Kedah.

Dalam sesi yang penuh bermakna ini, YAB Perdana Menteri menekankan kepentingan keadilan sosial, kesaksamaan peluang pendidikan serta peranan generasi muda dalam membina masa depan negara yang lebih progresif, bersatu dan berteraskan nilai MADANI.

Universiti AIMST merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan melalui geran tahunan serta tambahan peruntukan bagi tahun 2026 yang akan membantu memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada lebih ramai pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Kami turut menghargai pengiktirafan terhadap legasi mendiang Tun S. Samy Vellu yang menjadi pengasas kepada penubuhan AIMST, sebuah institusi yang terus komited melahirkan graduan berilmu, berintegriti dan berdaya saing.

Terima kasih kepada seluruh warga AIMST yang telah menjayakan program ini. Semoga amanat dan aspirasi yang dikongsikan menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk terus mengejar kecemerlangan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

#AIMSTUniversity
#25YearsOfAIMST
#PMxAIMST
#MalaysiaMADANI
#AIMSTBersamaPMX

Back